JOHOR BAHRU: PKR kecewa dengan tindakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan parti itu yang turut meletak calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang ditandingi calon PKR.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR akan memboikot Muda sekiranya parti dipimpin Syed Saddiq itu tetap meletakkan calon mereka di kerusi ditandingi PKR.
Beliau berkata, tindakan Muda turut meletak calon jelas tidak menghormati semangat kebersamaan pembangkang dalam membela masa depan rakyat dan negeri Johor.
Beliau akui sedar mungkin tindakan tersebut diambil kerana kerusi yang dituntut Muda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam rundingan sebelum ini tidak dipersetujui PKR.
“Saya maklum akan pengumuman calon oleh Muda di kerusi Larkin semalam dalam keadaan di mana PKR telah pun mengumumkan calonnya di kerusi yang sama pada 14 Februari lalu. Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan. PKR tidak akan mengambil langkah serupa untuk melanggar kerusi Muda pula kerana menghormati rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden Muda mengumumkan Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor sebagai calon bertanding di kerusi DUN Larkin.
Syed Ibrahim menyifatkan tindakan Muda sebagai kurang bijaksana, malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa.
“PKR akan terus bertanding di kerusi berkenaan untuk memenangi hati pengundi dan Muda masih ada masa untuk menimbang semula tindakan mereka sebelum penamaan calon, esok. PKR hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini sekiranya Muda tetap meletakkan calon di kerusi ditandingi PKR. Memang benar rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya. – UTUSAN










