Penyokong Pas kecewa kerjasama MN gagal diteruskan - Utusan Malaysia

Penyokong Pas kecewa kerjasama MN gagal diteruskan

Penyokong Pas kecewa Muafakat Nasional gagal diteruskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyokong Pas di peringkat akar umbi mengakui kecewa dengan keputusan kepimpinan parti itu yang memilih untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukannya UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Seorang pekerja sendiri, Ahmad Ismail Hasbullah, 45, memberitahu, dia kecewa kerana penyatuan UMNO dan Pas telah menampakkan perkembangan positif bagi landskap politik negara, khususnya melibatkan masyarakat Melayu-Islam.

Katanya, hasil kerjasama itu juga boleh dilihat menerusi kemenangan dilakar dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Tanjung Piai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah kehendak akar umbi tidak lagi bermakna buat kepimpinan parti, ini kerana bukan hanya saya tetapi rakan-rakan lain turut berharap kerjasama MN dapat diteruskan.

“Harapan kami agar kerjasama itu bukan hanya untuk PRK, Pilihan Raya Negeri (PRN), Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi sebaliknya sampai bila-bila kerana ia melibat penyatuan ummah antara masyarakat Melayu dan Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sama seperti PRN Melaka, Pas akan berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor pada 12 Mac ini untuk mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Pada 29 Januari lalu, muzakarah Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat ketetapan bahawa parti itu akan bersama PN dalam menghadapi PRN Johor sekaligus menolak bekerjasama dengan UMNO.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Pas, Salamah Ibrahim, 43, pula berkata, walaupun dia bukan ahli parti itu tetapi dia sudah mengundi parti berkenaan dalam beberapa PRU sebelum ini dan kecewa apabila kerjasama MN yang dicapai beberapa tahun lalu tidak berpanjangan.

“Sejujurnya saya berasa amat kecewa, kerana sebagai penyokong Pas sudah lama saya mengharapkan penyatuan antara kedua-dua parti ini dan apabila wujudnya kerjasama MN, saya amat gembira.

“Saya berharap kerjasama itu akan dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang memberi tumpuan terhadap kepentingan buat masyarakat Islam dan Melayu di negara ini namun dalam masa sama, turut menjaga kebajikan masyarakat bukan Islam.

“Jadi saya amat berharap agar kerjasama itu masih dapat diteruskan demi kebaikan bersama,” jelasnya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×