Pengusaha resah Taman Negara Kuala Tahan kurang pengunjung

Omicron: Pengusaha resah Taman Negara Kuala Tahan kurang pengunjung

NORHASIYATI Taharin sedang membersihkan kawasan landskap Tahan Guest House miliknya yang belum lagi disinggahi pengunjung di Kuala Tahan di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kehadiran pengunjung ke pusat peranginan hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan di sini cuma hampir 40 peratus sahaja sejak minggu ini sekali gus meresahkan pengusaha dan penggiat ekopelancongan di situ.

Difahamkan, situasi itu berkemungkinan berpunca akibat penularan varian Omicron peringkat global dan sehingga kini sudah pun menular di negara ini berasaskan laporan peningkatan kuman Covid-19 yang mencecah 27,000 kes.

Berbeza sebelum ini, kehadiran pengunjung mencapai hampir 100 peratus sejak Pelan Pemulihan Negara Fasa empat serta bermula tempoh perayaan Tahun Baharu Cina pada awal bulan ini, tetapi menurun sejak ancaman penularan varian Omicron di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja hospitaliti Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, dia serta pengusaha pusat inap dan penggiat ekopelancongan di situ mengakui hakikat peningkatan varian Omicron di tempat lain seluruh negara antara asbab penurunan kunjungan pelawat ke taman itu.

“Saya cuma dapat anggarkan sebanyak 40 peratus sahaja pengunjung ke sini sejak minggu lepas dan semalam sebilangan kecil ada yang sudah pun keluar dari taman ini setelah menghabiskan cuti serta waspada dengan lonjakan varian Omicron.

“Kemungkinan pengunjung yang bercadang untuk melawat ke sini hujung minggu ini mengambil sikap waspada dengan ancaman ini dan tunggu dan lihat dulu supaya senario ini reda malah masih tidak tahu penghujungnya,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.

Pengusaha pusat inap Tahan Guest House, Norhasiyati Taharin menambah, pusat inap miliknya masih ‘sepi’ tanpa disinggahi pengunjung sejak dibuka awal bulan ini setelah ditutup hampir dua tahun berikutan penularan Covid-19.

“Tak dapat saya nak simpulkan kenapa pusat inap masih sunyi, tetapi ancaman Covid-19 dan terbaharu, varian Omicron melanda negara antara yang membantut pengunjung singgah di sini.

“Kesempatan ketiadaan pengunjung minggu ini, saya dan suami membuat kerja-kerja pembersihan landskap sambil berharap ‘ada rezeki’ pengunjung menginap mulai cuti persekolahan minggu depan,” katanya.

Pemandu alam sekitar, Mohd. Kamil Hakim Rozali juga berdepan kekurangan tugas untuk membawa pengunjung melawat ke beberapa destinasi di sekitar Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling berikutan kekurangan pelawat.

“Kami di sini reda dengan ujian Allah SWT berikutan peningkatan ancaman varian Omicron juga antara punca pelawat kurang ke taman ini dan apapun saya yakin ada peningkatan pada cuti persekolahan mulai minggu depan,” katanya.

Jelasnya, dia mempunyai alternatif pekerjaan lain sekiranya senario tersebut berterusan dengan menumpukan bidang pertanian komersial yang diusahakan sejak bermula ancaman pandemik Covid-19 dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN