COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kini menjadi satu masalah dan berikrar akan berusaha menekan Israel berhubung perang di Gaza ketika negaranya memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU).
“Netanyahu kini merupakan masalah itu sendiri,” katanya dalam temu bual bersama akhbar harian Jyllands-Posten, sambil menegaskan kerajaan Israel sudah melampaui batas.
Frederiksen turut mengecam keadaan kemanusiaan di Gaza yang disifatkannya sebagai amat mengerikan dan bencana, selain membidas rancangan penempatan baharu Israel di Tebing Barat yang diduduki.
“Kami adalah antara negara yang mahu meningkatkan tekanan ke atas Israel, namun setakat ini masih belum mendapat sokongan penuh daripada negara anggota EU,” ujarnya.
Beliau berkata, Denmark mahu menimbang pelbagai langkah tekanan politik termasuk sekatan terhadap peneroka, menteri atau Israel secara keseluruhan, merangkumi aspek perdagangan mahupun penyelidikan.
“Kami tidak menolak apa-apa lebih awal. Seperti terhadap Rusia, kami akan merangka sekatan bagi memberi kesan paling besar,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Denmark tidak termasuk dalam kumpulan negara EU yang sudah mengiktiraf negara Palestin.
Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 lalu mengorbankan 1,219 orang di Israel, kebanyakannya orang awam.
Sebagai tindak balas, serangan ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 61,430 penduduk Palestin, majoritinya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI










