SISAKET: Thailand menggesa Kemboja bekerjasama dalam operasi pembersihan periuk api di sepanjang sempadan bersama, bagi memastikan keselamatan jangka panjang dan mengukuhkan keamanan antara kedua-dua negara.
Gesaan itu disuarakan oleh Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, yang menekankan perlunya komitmen bersama dalam menangani ancaman periuk api darat.
“Periuk api ialah senjata tanpa diskriminasi yang menyebabkan penderitaan tidak berperikemanusiaan terhadap anggota tentera dan orang awam. Ini isu kemanusiaan yang mesti ditangani segera,” tegas Maris dalam sidang media di Sisaket.
Menurut beliau, lima anggota Tentera Darat Diraja Thailand kehilangan kaki, manakala 11 lagi cedera parah akibat letupan periuk api.
Beliau menganggap operasi bersama sebagai simbol muhibah dan langkah konkrit untuk meredakan ketegangan serta membina kepercayaan jangka panjang.
Gesaan Thailand itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Thailand-Kemboja yang diadakan di Malaysia baru-baru ini.
Maris menegaskan periuk api antipersonel bukan sahaja mengancam keselamatan, malah mewujudkan perasaan tidak percaya dan kebencian antara masyarakat kedua-dua negara.
“Thailand dan Kemboja berkongsi sempadan yang panjang. Kita perlu hidup saling bergantung, bukannya dibelenggu ancaman yang memburukkan hubungan dua hala,” ujarnya.
Pada hari Sabtu, Maris mengetuai delegasi diplomatik dari 33 negara ke wilayah timur laut Sisaket untuk meninjau kawasan yang terkesan akibat pertembungan sempadan sebelum ini.
Dalam pada itu, Maris menegaskan komitmen Thailand terhadap Konvensyen Ottawa, yang diiktiraf dunia pada 1997 bagi mengharamkan penggunaan periuk api anti-personel.
Beliau berkata, usaha berterusan Thailand membantu mangsa periuk api supaya dapat hidup bermaruah dan kembali menyertai masyarakat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kemanusiaan sejagat.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal kemanusiaan. Kita mesti bertindak,” katanya.










