KEMAMAN: Penduduk di beberapa kampung di Kemaman menyifatkan banjir yang melanda kali ini di luar kelaziman.
Kamariah Ismail, 54, dari Kampung Air Putih, berkata, musibah itu kebiasaannya berlaku antara November hingga Januari dan jarang berlaku pada akhir Februari terutama selepas sambutan sambutan Tahun Baru Cina.
“Tetapi kali ini, hujan lebat selama tiga hari menyebabkan air sungai melimpah hingga seluruh kawasan sekitar rumah saya banjir.
“Saya lima beranak terpaksa berpindah pukul 5.30 pagi berikutan air naik mendadak dan tidak sempat menyelamatkan perabot dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Bagi Salasiah Hamid, 27, dari Kampung Padang Kubu, tiada sebarang persediaan dibuat untuk berdepan banjir kerana menjangkakan bencana itu sudah berakhir.
“Biasanya banjir hanya pada hujung dan awal tahun. Agak kelam kabut sebenarnya sebab kami tidak bersedia daripada awal,” katanya. – UTUSAN










