ALOR SETAR: Industri pelancongan Langkawi kerugian sehingga RM18 juta dari Januari lepas berikutan kes positif Covid-19 yang kembali meningkat di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, kebanyakan hotel dan resort menanggung kerugian setelah lebih 52 peratus tempahan bilik di premis mereka dibatalkan pelancong.
Malah, menurut beliau, ketika cuti Tahun Baharu Cina lepas, tempahan hotel adalah sekitar 50 peratus sahaja.
“Terdapat lebih 15,613 bilik di Langkawi, kita gagal penuhi kesemuanya walaupun pada musim puncak seperti cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, gelembung pelancongan antarabangsa juga hanya mencatatkan kemasukan sebanyak 5,112 pelancong luar sehingga 9 Februari lepas.
“Walaupun kita sasarkan sehingga 15,000 pelancong luar setiap bulan tetapi gagal antaranya kerana ejen pelancongan mendakwa pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang sering berubah-ubah,” kata beliau.
Kata beliau, kebergantungan Langkawi kepada pelancong domestik juga menurun setelah kebenaran melancong ke luar negara diberikan kepada orang ramai sekali gus menjadikan pulau ini lokasi percutian hujung minggu sahaja.
“Orang sudah boleh melancong ke luar negara, mereka akan pilih untuk ke London atau Turki. Sedangkan Langkawi perlu bergantung kepada pelancong domestik sahaja kerana pintu sempadan belum dibuka sepenuhnya.
“Apa yang kami bimbangkan adalah Langkawi akan menjadi lokasi pelancongan lain seperti Port Dickson iaitu lokasi pelancongan hujung minggu sahaja bukan lagi pilihan utama,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, LTA berharap kerajaan meneliti semula SOP berkaitan termasuk berkaitan gelembung pelancongan antarabangsa bagi memudahkan pelancong luar ke Langkawi.- UTUSAN










