Pelakon veteran, Idris Bakar meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pelakon veteran, Idris Bakar meninggal dunia

IDRIS Bakar ketika menerima rawatan di hospital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelakon veteran, Idris Bakar, 74, meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuantan, Pahang pagi tadi.

Idris meninggal dunia pada pukul 8.14 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan.

Menurut anak ketiganya, Hanafizah Idris, 49, arwah bapanya itu telah mengikutnya pulang ke Kuantan, Pahang pada 14 Februari lalu.

“Saya membawa arwah bapa pulang ke Kuantan, Pahang untuk menjaga dia. Bagaimanapun, pada 16 Februari lalu, arwah bapa terkena serangan jantung pada waktu petang dan dia dimasukkan ke zon kuning dan kemudian ke wad biasa.

“Selepas itu, dia dimasukkan ke CCU namun masih boleh berbual bersama kami melalui panggilan telefon. Namun pihak hospital memaklumkan bapa meninggal dunia pada pukul 8.14 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said di sini hari ini.

JENAZAH Idris Bakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, sebelum solat Asar hari ini. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

Jenazah Idris sebelum itu disolatkan di Masjid al-Muhajirin Indera Mahkota 5, Kuantan lebih kurang pukul 12 tengah hari dan dibawa pulang untuk dikebumikan sebelum solat Asar.

Idris merupakan pelakon kacukan Melayu-Belanda dan dilahirkan di Kuala Pilah namun menetap di Kampung Jiboi, Ampangan dekat sini.

Menurut Hanafizah, arwah bapanya itu juga merupakan seorang pesara hospital, sudah lapan tahun meninggalkan dunia lakonan dan selepas itu hanya berehat di rumah.

“Kali terakhir arwah bapa berlakon adalah pada lapan tahun lepas dan lakonan terakhirnya adalah dalam sebuah drama bertajuk Tok Ompek Simpang Ompek.

“Arwah bapa sering memohon maaf kepada sesiapa yang ditemuinya dan selalu meminta supaya mendoakan kesihatannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya