SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) meletakkan sasaran untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super menjelang sepak mula pada 4 Mac hadapan.
Pengerusi NSFC, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, berdasarkan persiapan pasukan, sasaran tersebut boleh dicapai selain cuba memberikan saingan bagi merebut piala-piala lain yang dipertandingkan.

“NSFC tidak mahu menjadi pasukan pelengkap, tetapi mahu bersaing hebat kepada semua pasukan yang beraksi. Sasaran kami mahu kekal beraksi di Liga Super, bukan hanya satu musim sahaja, kalau di peringkat pertengahan pun alhamdulillah dengan persiapan yang ada.
“Untuk menjulang piala, harapan tetap ada, pasukan diharapkan dapat berikan yang terbaik dan jika nasib menyebelahi, kami boleh pergi jauh,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jersi NSFC dan Majlis Memperkenalkan Pemain Liga Super 2022, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya jumlah perbelanjaan bagi NSFC bagi mengharungi aksi musim ini, Tunku Syed Razman mengakui jumlahnya lebih besar berbanding ketika beraksi di Liga Perdana pada musim lalu.
“Memang sebelum ini semasa beraksi di Liga Perdana, perbelanjaan jauh lebih rendah, namun kami dapat kumpulkan dana untuk bawa ke Liga Super.
“Walaupun perbelanjaan kami tidak setinggi pasukan lain, tetapi bagi kami bersyukur dan berharap dana tersebut dapat ditambah lagi untuk musim seterusnya,” kata beliau.
Sementara itu, NSFC mendaftarkan seramai 29 orang pemain bagi menghadapi musim 2022 dengan antara pemain yang dikekalkan termasuklah ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak dan Nasrullah Hanif Johan selain membawa masuk lima orang pemain import baharu.
NSFC juga terus mengekalkan K. Devam sebagai Ketua Jurulatih selain dibantu oleh bekas pemain Perak, K. Nanthakumar sebagai Penolong Ketua Jurulatih. – UTUSAN










