SEREMBAN: Pemeteraian Memorandum Persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MOU PDI) di antara Malaysia dan Indonesia dijangka ditandatangani pada bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan itu dibuat selepas perkara tersebut dibentangkan secara rasmi kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.
“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada membincangkan isu MOU PDO ini. Sebaik sahaja Kabinet bersetuju saya telah segera maklumkan kepada Menteri Tenaga Kerja Indonesia.
“Indonesia akan tetapkan tarikh dan pihak Malaysia menjangkakan dalam Mac ini. Pada mulanya ia akan dibincangkan pada Januari namun, terdapat beberapa perkara belum dibincangkan ketika itu. Diharap selepas ini, semua pekerja asing mendapat kemudahan yang sama dan tiada sebarang diskriminasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Khas Bersepadu yang diadakan di sebuah restoran di Seremban hari ini.
Saravanan dalam pada itu menjelaskan, pengambilan pekerja asing dari Kemboja juga menjadi sebahagian daripada alternatif bagi memenuhi keperluan perkhidmatan pekerja asing di negara ini.
“Setakat ini, seramai 1,054 pekerja asing dari Kemboja di negara ini dan sebahagiannya iaitu seramai 1,003 orang adalah sebagai pembantu domestik. Ia a masih lagi di peringkat awal dari segi penggunaan rakyat Kemboja sebagai pekerja di negara ini,” katanya. – UTUSAN










