PETALING JAYA : Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta pertuduhan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun atas dakwaan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya mengikut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk disemak semula.
Presiden MMA, Dr. Koh Kar Chai berkata, pihaknya terkejut dengan proses pendakwaan remaja itu yang pernah menjadi mangsa jenayah rogol dan kiji sekali lagi menjadi mangsa ketidakadilan.
“Lelaki atau perempuan yang menjadi mangsa keganasan seksual mungkin berdepan kesan mental, tingkah laku dan sosial, manakala kanak-kanak perempuan serta wanita menanggung lebih banyak beban akibat kesan reproduktif, selain trauma dan risiko mendapat jangkitan seksual.
“Jika dia (tertuduh) sudah tertekan ketika kehamilan yang tidak diingini, risiko untuk mengalami kemurungan selepas bersalin pasti lebih tinggi.
“Selain berdepan trauma akibat dirogol, dia terpaksa menanggung kesusahan mengandung, selain terpaksa pula berdepan tanggapan negatif masyarakat, justeru menambah risiko menghidap penyakit mental dan mendorong dirinya melakukan tindakan tidak wajar seperti membunuh bayi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya, pada Selasa minggu lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi terbabit di sebuah rumah dekat Seri Bandi di sini, di antara pukul 7 hingga 9 pagi.
Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh. UTUSAN











