MBI kaji keperluan tambah parkir sekitar HRB

MBI kaji keperluan tambah parkir sekitar HRB

RUMAIZI BAHARIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengkaji keperluan untuk membina tempat letak kereta tambahan bagi mengatasi kesesakan di sekitar kawasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memberitahu, dalam tempoh dua tahun, pihaknya telah menyiapkan lebih 100 lot tempat letak kereta di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, menyedari masalah parkir yang menyebabkan rungutan ramai, pihaknya menggunakan budi bicara dalam menguatkuasa undang-undang berkaitan tempat letak kereta. 

“Buat masa ini langkah jangka pendek kita adalah saman (letak kereta di luar lot parkir) namun kita beri pengurangan saman sebanyak 70 peratus.

“Bagaimanapun, kita masih bertoleransi, kita tidak mengeluarkan saman sewenang-wenangnya terutama pada waktu puncak,” katanya selepas Majlis Perasmian Pra Pelancaran Tasik Cermin Eco Park yang disempurnakan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Sementara itu Nolee Ashilin berkata, isu berkaitan parkir itu telah dibawa dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diperhalusi.

“Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan untuk memastikan perkara ini (parkir di tepi jalan) dapat dikurangkan.

“Untuk selesaikan perkara ini sepenuhnya, tidak boleh kerana hospital dari segi pekerja dan pesakit memang terlampau ramai namun kita akan cari cara untuk gunakan fasiliti sedia ada bagi membantu mengurangkan kesesakan,” katanya.

Menerusi laporan media pada 9 Februari lalu, kerajaan negeri mengambil maklum rungutan orang awam berkaitan parkir bertingkat di bangunan baharu HRPB yang didakwa mereka hanya untuk kegunaan kakitangan hospital.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, perbincangan akan diadakan dengan pihak HRPB dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi mendapat gambaran sebenar isu berkenaan.

Terdahulu, tular dalam media sosial rungutan pengunjung HRPB yang mendakwa tidak dibenarkan meletak kenderaan di parkir bertingkat tersebut kerana ia dikhaskan untuk kakitangan hospital. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN