KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 4,419 orang, setakat pukul 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, sebanyak 90 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di kesemua lapan daerah di negeri ini.
Katanya, Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi selepas seramai 2,158 orang dipindahkan ke 21 PPS diikuti Setiu (802 orang), Hulu Terengganu (689 orang), Besut (396 orang) dan Kuala Nerus (173 orang)
“Di Dungun pula penduduk yang terjejas ialah seramai 138 orang manakala Kuala Terengganu (58 orang) dan Marang (5 orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sekretariat itu berkata, cuaca semasa pagi ini masih lagi hujan lebat di kebanyakan daerah. – UTUSAN









