KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,207 orang dengan 28 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula diaktifkan di seluruh negeri setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat jajahan yang terjejas teruk ialah Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.
Di Jeli, seramai 557 mangsa telah ditempatkan di tujuh PPS manakala Kuala Krai 390 orang di sembilan PPS, Tanah Merah 230 orang di lapan PPS dan Pasir Mas 30 orang di empat PPS.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di negeri ini sudah melepasi paras bahaya dan masih menunjukkan trend meningkat.
Sungai-sungai tersebut ialah Sungai Lanas di Jeli, Sungai Lebir di Kuala Krai, Sungai Temangan di Machang, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Jenob di Tanah Merah.UTUSAN










