Mahkamah tolak permohonan penghakiman ingkar Mohd. Na'im

Mahkamah tolak permohonan penghakiman ingkar Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini telah menolak permohonan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurut peguam Logan Eskandar yang mewakili Lokman selaku defendan, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati defendan telah memfailkan pernyataan pembelaannya pada 11 Februari lalu sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.

Tambahnya, sesalinan pernyataan pembelaan itu telah dihantar ke firma guaman, Tetuan Akberdin & Co. yang mewakili  Mohd Na’im pada hari sama dokumen terbabit difailkan.

“Dokumen diterima oleh wakil daripada firma guaman tersebut,”katanya ketika dihubungi.

Menurut dokumen yang diperoleh media lewat petang ini, perintah menolak permohonan Mohd. Na’im itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris, semalam.

Loges memberitahu, pihaknya terkejut dengan laporan media semalam yang melaporkan mengenai kegagalan anak guamnya memfailkan penyataan pembelaan itu walaupun telah diberikan lanjutan masa oleh mahkamah di samping turut menyatakan laporan media itu tidak betul.

Peguam itu turut memaklumkan, mahkamah telah menetapkan 21 Februari ini untuk pengurusan kes saman itu manakala pendengaran injunksi inter parte (kedua-dua pihak) ditetapkan pada 22 Mac depan.

Pada 14 Februari lalu, Mohd. Na’im selaku plaintif memfailkan permohonan penghakiman ingkar  terhadap Lokman atas dakwaan defendan gagal memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penghakiman ingkar merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi mengesahkan tuntutan yang dibuat oleh plaintif selepas defendan (individu yang disaman) gagal memasukkan kehadiran atau memfailkan pembelaan mengikut masa yang ditetapkan.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Na’im atas kapasiti peribadi memfailkan saman fitnah terhadap Lokman yang didakwa mengaitkan Hakim Mahkamah Syariah itu dengan salah laku seksual.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, plaintif mendakwa Lokman telah membuat dua siaran langsung mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman sosial Facebook miliknya pada 10 dan 13 Januari lalu.

Rakaman rakaman kedua-dua siaran langsung itu kemudian telah dimuat naik ke laman Youtube milik defendan.

Menurut plaintif, berdasarkan hantaran (posting) yang dibuat oleh defendan, Lokman antara lain telah menggambarkan Mohd. Na’im telah membuat gangguan seksual ke atas beberapa wanita termasuk seseorang bergelar Datin, tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie, mempunyai akhlak yang buruk dan menyebabkan negara dilanda musibah.

Hantaran-hantaran tersebut juga didakwa menyebabkan kredibiliti, maruah dan reputasi Mohd. Na’im terjejas serta mengundang kecaman dan kebencian daripada orang awam yang melihat rakaman dan membaca hantaran tersebut membuat andaian.

Mohd. Na’im antara lainnya menuntut agar Lokman membuat permohonan maaf terhadap plaintif dan akan disiarkan ke laman-laman sosial milik defendan dan juga portal berita serta media tempatan.

Plaintif juga memohon satu ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing sebanyak RM10 juta berserta faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya