PUTRAJAYA: Negara boleh berdepan gelombang baharu Covid-19 jika kerajaan tidak bertegas menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kehormat Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, segala desakan bagi melonggarkan SOP tertentu tidak perlu dilayan seperti membenarkan kempen secara bersemuka selain memanjangkan tempoh berkempen sehingga 21 hari.
Beliau menegaskan, desakan tersebut tidak masuk akal apatah lagi melaksanakan pilihan raya dalam tempoh berisiko ketika ini disifatkan keputusan tidak wajar.
“Sepatutnya pada masa sekarang ini dengan kemunculan varian Omicron yang sangat mudah merebak, sepatutnya PRN ditangguhkan. Penganjuran satu bentuk perkumpulan orang ramai seperti pilihan raya perlu dielakkan sekali gus menunjukkan kita masih tidak belajar pengalaman lepas.
“Namun, jika PRN ini tidak boleh dielakkan, ketatkan SOP, tak boleh langsung kempen secara bersemuka, mengambil contoh PRN Melaka walaupun ia tidak dibenarkan kempen sebegitu sekali pun tetap ada orang langgar SOP, jadi kita kena bertegas,” katanya di sini semalam.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memohon tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari, termasuk ceramah dan kempen bersemuka dibenarkan menjelang PRN Johor.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, permintaan itu berdasarkan wabak Covid-19 di negara ini semakin bersifat endemik.
Pakar perubatan dan kesihatan, Datuk Dr. Kuljit Singh pula berpendapat, Malaysia masih belum bersedia untuk menjalani kehidupan pada zaman pra-Covid-19 dan terlalu awal untuk melonggarkan SOP seolah-olah negara sudah bebas daripada ancaman wabak.
Beliau kata, kadar jangkitan di negara luar masih tinggi akibat penularan varian berbahaya Omicron walaupun jumlah kematian di tahap rendah.
“Jangan disebabkan kegagalan kita dan tidak lagi mempedulikan soal SOP ia boleh merebak semula jangkitan kerana kita tidak boleh jangka situasi itu,” katanya. – UTUSAN










