KLANG: Seorang lelaki gagal dikesan ketika menghantar dokumen kepada sebuah kapal di perairan Pintu Gedung, Pelabuhan Klang, di sini, kelmarin.
Mangsa, Md. Shamsuddin Mohamed Shari, 46, merupakan seorang warga tempatan dilaporkan menaiki sebuah bot gentian dari Pulau Ketam menuju ke kapal, Lila Bhavnagar bagi menghantar dokumen serta pasport kru.
Mangsa disyaki kehabisan minyak di perairan berkenaan sekitar pukul 6 petang selepas gagal dikesan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya kemudian mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) terhadap Md. Shamsuddin.
“Operasi Carilamat yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru diaktifkan semalam pada pukul 12.30 tengah hari dan disambung pada pukul 7 pagi tadi dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan bot Penggalang 10 serta bot RH10 daripada Pasukan Polis Marin (PPM).
“Sektor pencarian Carilama hari ini merangkumi keluasan kawasan 85 batu nautika persegi dari Pulau Ketam sehingga ke kawasan Pulau Carey,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, usaha-usaha pencarian sebelum itu turut dilakukan rakan mangsa, namun bot berwarna putih dan hijau itu tidak ditemui sehingga kini.
Dalam pada itu, Mohammad Rosli memberitahu Maritim Malaysia masih meneruskan usaha pencarian mangsa, sementara Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga ditubuhkan di Jeti PPM Selangor.
“Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.5 hingga 2.5 meter, serta ribut petir di beberapa lokasi.
“Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS999 yang beroperasi secara 24 jam,” ujarnya. UTUSAN










