rumah PR1MA

Lantik hanya satu agensi penyelaras projek perumahan

807 projek rumah bernilai RM201.75 bilion disah bermasalah . – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu melantik hanya satu agensi yang bertanggungjawab membekal bahan binaan dan menyelaras semua projek rumah mampu milik demi memastikan sasaran satu keluarga satu rumah benar-benar dapat dicapai melalui proses teratur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, tanggungjawab pelaksanaan agenda nasional itu tidak boleh diserahkan kepada pemaju swasta.

Sebaliknya, diambil alih sepenuhnya pihak kerajaan sama ada syarikat milik kerajaan atau syarikat senarai awam untuk memainkan peranan penting keperluan utama rakyat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab pula tidak boleh bersaing sesama sendiri untuk membekalkan rumah semata-mata memenuhi ‘agenda’ masing-masing di sebalik tujuan asal menyediakan kediaman berpatutan.

Beliau memberitahu, langkah itu telah dibuat di Singapura apabila hanya satu syarikat diberi tanggungjawab melaksanakan penyediaan rumah mampu miilik iaitu Lembaga Pemba­ngunan Perumahan (HDB).

“Sebagai contoh ada beberapa agensi yang terlibat seper­ti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), UDA Holdings Berhad (UDA) yang dipercayai ada agenda masing-masing dan bersaing membekalkan rumah.

“Ini belum lagi termasuk syarikat milik kerajaan negeri di bawah perbadanan kemajuan negeri (EDC) yang melaksanakan inisiatif sama.

“Kalau rumah berkelas tinggi boleh bersaing dan terbuka. Kalau rumah mampu milik, harus ada satu agensi sahaja terlibat.

“Jadi kerajaan boleh pilih mana-mana satu agensi dan syarikat itu perlu diperkasakan untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, pemilihan hanya satu agensi perumahan yang terlibat boleh memudahkan proses pelaksanaan rumah mampu milik secara tepat apabila ia dibina mengikut keperluan data sebenar yang diintegarasikan dalam satu sistem.

Katanya, agensi berkenaan boleh mengenal pasti berapa jumlah sebenar rakyat perlukan rumah, menilai jumlah permohonan, berapa ramai tidak dapat pembiayaan dan sebagainya agar memenuhi matlamat kerajaan tiada seorang rakyat Malaysia terpinggir.

“Kalau masing-masing syarikat kecil pun nak buat rumah mampu milik ini, kos setiap kaki persegi pun akan jadi lebih tinggi sebab pembinaan tidak dibuat berskala besar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia, Ariffahmi Ab. Rahman berkata, kerajaan perlu mencari kreativiti dan inovasi dalam strategi pembinaan rumah mampu milik supaya boleh mencapai objektif memudahkan rakyat memiliki rumah pertama.

Beliau berkata, industri pembinaan dan pembekalan bahan binaan sememangnya ada pihak yang mengawal harga barang itu supaya kos di pasaran dapat ditentukan mereka tanpa kawalan.

Namun, katanya, kerajaan boleh membendung kegiatan kartel itu dengan mengawal harga bahan binaan termasuk menyediakan stok penimbal jika barang komponen binaan tiada dalam pasaran bagi mengimbangi harga agar tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh kartel itu.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri boleh turut memainkan peranan memberi tanah secara percuma atau berbentuk ‘token’ kepada pemaju yang diberi tanggungjawab membina rumah mampu milik supaya harga kos tanah itu tidak ditanggung pemaju dan pada masa sama kos tanah itu tidak dikenakan kepada pembeli. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini