JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) yakin kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak menghalang masyarakat bukan Melayu menyokong mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana masyarakat bukan Melayu sama seperti majoriti rakyat negara ini yang mahukan kestabilan ekonomi dan menolak pemimpin serta parti yang didalangi individu kleptokrat.
“Mereka (rakyat bukan Melayu) tidak melihat itu (kerjasama Bersatu-Pas) sebagai satu kekangan atau pun gangguan, kerana mereka juga mahukan pemimpin yang bersih dan bukan kleptokrat.
“Komuniti perniagaan misalnya mahu melihat kestabilan dan peluang perniagaan melalui dasar-dasar progresif dan perkara ini dijayakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN sebagai kerajaan yang mesra perniagaan,” katanya selepas menghadiri majlis Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil Sederhana (IKS), di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, keyakinan golongan bukan Melayu menyokong PN berdasarkan rekod cemerlang gabungan itu semasa mentadbir kerajaan.
“Kerajaan PN telah berjaya merangka dasar yang proaktif dengan lapan pakej rangsangan diperkenal bagi membantu aliran tunai terutama perusahaan kecil dan sederhana untuk meneruskan perniagaan.
“Kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin dan PN meletakkan faktor kestabilan dan perpaduan sebagai agenda utama kerana tanpa kemakmuran tidak mungkin kita dapat menarik pelabur domestik mahupun luar negara untuk melabur di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk negeri ini diseru untuk memilih parti politik yang ditunjangi rakyat Johor yang telah berjaya menyelamatkan negara ketika menghadapi tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19.
Mohamed Azmin berkata, beliau percaya Muhyiddin mampu membantu Johor menjadi kuasa ekonomi di Malaysia. – UTUSAN











