Kembalikan kegemilangan tapak Perwaja Steel - Utusan Malaysia

Kembalikan kegemilangan tapak Perwaja Steel

KEADAAN tapak bekas kilang Perwaja Steel yang berada dalam keadaan tidak terurus di Gurun, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk beberapa buah kampung berdekatan tapak bekas kilang Perwaja Steel di Gurun di sini, meminta kerajaan mengembalikan semula kegemilangan kawasan perindustrian itu.

Mereka terkilan apabila tiada usaha yang diambil kerajaan dan syarikat gergasi tempatan atau luar negara melabur di kawasan itu, seterusnya merancakkan semula ekonomi di pekan Gurun.

Sebaliknya, kawasan tersebut terbiar dan tidak diuruskan dengan baik sejak kilang Perwaja Steel ditutup pada 2002 akibat masalah kewangan.

Seorang penduduk dari Kampung Kilang Ketapan, Norhayati Shuaib, 54, berkata, kerajaan sepatutnya membangunkan kawasan tersebut dengan menempatkan kilang-kilang baharu supaya kawasan tersebut membangun seperti Taman Perindustrian Teknologi Tinggi bersepadu di Kulim.

Menurutnya, kewujudan kilang baharu di kawasan itu juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan meningkatkan ekonomi serta taraf hidup penduduk berdekatan.

“Saya percaya kerajaan boleh melaksanakan pembangunan di kawasan tapak bekas kilang Perwaja Steel itu dengan menarik syarikat-syarikat yang berdaya saing,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk dari Kampung Risda, Salleh Din, 48, pula berkata, dia sebelum ini tidak pernah mengambil tahu mengenai aktiviti yang dijalankan oleh kilang di kawasan tersebut.

Tambahnya, pada masa sama, kawasan persekitaran di kawasan kilang itu didapati berada dalam keadaan tidak terurus termasuk kebersihan di kawasan tersebut.

“Kerajaan boleh mengembalikan semula kegemilangan kawasan perindustrian berasaskan besi yang diterajui oleh Perwaja Steel agar kawasan ini kembali rancak dan maju,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mat Isa Rahim, 49, berkata, dia berpendapat, kawasan tersebut sepatutnya telah lama dibangunkan semula dengan menempatkan kilang-kilang bahari kerana kedudukannya strategik kerana berdekatan dengan Lebuhraya Utara-Selatan.

“Penduduk berdekatan juga akan mendapat banyak manfaat terutamanya limpahan ekonomi sekiranya kawasan industri itu menawarkan banyak peluang pekerjaan,” tambahnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya