Inisiatif Semarak Niaga perlu telus, dipermudah - Utusan Malaysia

Inisiatif Semarak Niaga perlu telus, dipermudah

KAKITANGAN Kawood, Azlan Hadi Abu Bakar melakukan kemasan akhir pada salah satu produk kayu di bengkel Kawood di PPR Seri Cempaka, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inisiatif-inisiatif di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia perlu dipermudah bagi membolehkannya dicapai golongan sasaran terutama perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukannya.

Pensyarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Semarak Niaga dilihat lebih komprehensif kerana menyasarkan segenap pelusuk dan lapisan, iaitu daripada usahawan mikro sehingga kepada mereka yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya, matlamat utama juga dilihat untuk merancakkan kegiatan aktiviti ekonomi dan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai bentuk sama ada pembiayaan, pemilikan ekuiti serta jaminan pinjaman.

“Bagaimanapun, apa yang penting adalah institusi-institusi yang dipertanggungjawab melaksana dan mengagih harus memudah cara serta memastikan inisiatif itu sampai kepada golongan sasar.

“Namun integriti dan ketelusan harus diutamakan serta (inisiatif itu) tidak dipolitikkan. Ukuran dan laporan berkala juga harus dibudayakan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas mengenai Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dilancarkan kelmarin yang dijangka memastikan ekosistem PMKS di negara ini terus berdaya saing.

Program itu menyediakan skim pembiayaan merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk memanfaatkan setiap usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pragram tersebut dilihat sebagai satu inisiatif penting di bawah Bajet 2022 untuk membantu usahawan terjejas terutama PMKS.

Katanya, ini berikutan program itu meliputi pelbagai skop bantuan yang merangkumi pelbagai jenis perniagaan untuk dibantu.

“Saya juga melihat salah satu inisiatif dibawa program itu iaitu jaminan pembiayaan yang disediakan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dapat membantu PMKS terjejas pandemik dan pada masa sama mengalami kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan.

“Skim ini penting kerana apa guna kerajaan memperuntukkan begitu banyak pembiayaan, tetapi banyak perniagaan didapati tidak layak untuk menerimanya. Maka, SJPP itu mampu memastikan pembiayaan tersebut dapat memberi manfaat kepada semua perniagaan yang mengalami kesukaran selama ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya