KEMAMAN: Polis mengenal pasti identiti dua suspek yang melanggar mati seorang pesara di samping melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik orang awam di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-duanya yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu merupakan penduduk tempatan.
“Seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kita turut mendapat maklumat daripada orang awam yang mengesan MPV itu di Kuantan, Pahang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang semalam, kedua-kedua suspek yang menaiki Perodua Myvi itu bertindak melarikan diri selepas melanggar mati penunggang motosikal berusia 57 tahun LPT2.
Bagaimanapun, kenderaan suspek tersadai kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian akibat rosak dan berjaya dikesan seorang pengguna jalan raya, sebelum mereka bertindak melarikan MPV milik lelaki berkenaan.
Hanyan berkata, siasatan mendapati Perodua Myvi yang dinaiki suspek merupakan kenderaan sewa milik seorang guru yang disewakan kepada seorang wanita.
“Polis kini menjejaki wanita itu bagi membantu siasatan dan berdasarkan semakan, dia turut mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. UTUSAN










