BATU PAHAT: Hampir 80,000 mahasiswa di negara ini menerima khabar gembira apabila layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setelah memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dalam bidang pengajian masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pengecualian kepada seramai 79,873 pelajar itu melibatkan peruntukan RM2.06 bilion di seluruh negara sehingga 31 Januari lalu.
Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, seramai 11,287 adalah peminjam dari negeri ini yang layak memperoleh pengecualian membabitkan peruntukan bernilai RM294 juta.
“PTPTN menyediakan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada peminjam bagi kategori keluarga B40 dan M40 yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama. Dengan inisiatif ini, peminjam yang layak tidak perlu membuat bayaran balik pinjaman mereka.
”Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu Keluarga Malaysia dari golongan B40 dan M40 agar mendapat akses kepada pendidikan tinggi serta meringankan kewangan mereka semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Surat Kelulusan Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Bagi Peminjam Yang Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama kepada dua penerima di kediaman masing-masing di daerah ini, hari ini.
Dalam lawatan itu, seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengikuti program pengajian Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian), Sayyida Aisya Azira Hady Purnama telah menerima pengecualian bayaran balik sebanyak RM9,980.
Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengikuti program pengajian Sarjana Muda Sains (Kimia Gunaan) (Kepujian), Aishah Hanis Abdul Majid pula menerima pengecualian bayaran balik sebanyak RM19,960.
Menurut Noraini, pemberian pengecualian bayaran balik berkenaan juga dilihat sebagai penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dan berjaya dalam aspek pendidikan. – UTUSAN










