PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor pada Jumaat ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Jumaat lalu, pihaknya menetapkan Mesyuarat Khas berkaitan PRN bagi kedua-dua negeri tersebut diadakan pada Jumaat ini.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Negeri Sembilan Ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sebelum ini, PRN terakhir bagi Negeri Sembilan diadakan pada 12 Ogos 2023 dengan menyaksikan PH memenangi 17 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
Negeri Sembilan sepatutnya mencapai tempoh matang maksimum penggal pada September 2028. – UTUSAN










