JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan membuat keputusan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) secara solo atau menerusi satu kerjasama pilihan raya (electoral pact) bersama parti lain, hujung minggu ini.
Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, keputusan tersebut akan diputuskan kepimpinan tertinggi Muda menerusi satu pemukiman yang akan diadakan di Muar pada 10 hingga 12 Jun ini.
“Berhubung ‘electoral pact’, perkara itu akan diputuskan kepimpinan menerusi pemukiman Biro Politik Muda. Setakat ini perkara itu masih dalam perbincangan.
“Tetapi Muda telah ambil keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri yang telah dilakukan pada pilihan raya-pilihan raya lalu. Kita yakin dengan perjuangan politik dasar, nilai dan khidmat yang diperjuangkan selama ini,” katanya pada sesi minum petang bersama media di Setia Tropika, di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan parti itu sedang mengadakan perbincangan memasuki PRN Johor bersama Muda, Pejuang dan juga Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Bagaimanapun, Amira Aisya turut memberitahu pihaknya tidak akan memaksa mana-mana parti politik mengadakan kerjasama kerana sedar setiap parti mempunyai hak untuk bertanding dibawah amalan demokrasi negara.
“Mana-mana parti politik ada hak untuk tentukan bagaimana mereka mahu bertanding. Muda sejak awal ditubuhkan juga mempunyai pendirian dan berpegang kepada polisi diperjuangkan demi rakyat,” katanya.
Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu turut memberitahu, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan pengaruh parti berkenaan ke kawasan-kawasan yang tidak pernah ditandingi sebelum ini.
“Pada pemukiman itu juga, senarai calon-calon yang akan bertanding mewakili Muda akan dimuktamadkan. Kita masih lihat kerusi pernah ditandingi, dan pada PRN ini kita rasa ada keperluan untuk memperluaskan pengaruh di kawasan lain.
“Kriteria calon paling utama bukan usia atau warna kulit, sebaliknya apakah calon tersebut mampu menjadi wakil rakyat yang baik serta mampu membincangkan dasar dan polisi rakyat dalam Sidang DUN,” katanya. – UTUSAN










