TANJONG KARANG: Dua beradik yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 56, Jalan Bernam–Tanjong Karang di sini kelmarin meluahkan hasrat masing-masing untuk bekerja di Australia selepas sambutan Aidilftri.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Sha Sabarina Marsom, 27, dan adiknya, Norhidayah, 20, maut selepas kereta Toyota Camry dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan kereta Mercedes yang memasuki laluan bertentangan.
Ibu mangsa, Nurhayati Shanti Abdullah, 54, berkata, dia sempat menemui dua anaknya itu yang menziarahinya di Sungai Nibong, Sekinchan, pukul 4.30 petang sebelum tragedi.
“Sebelum bertolak pulang ke Klang, mereka memberitahu mahu bekerja selama setahun di Australia selepas raya nanti,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanjong Karang di sini malam kelmarin.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Sha Sabarina terkorban di tempat kejadian manakala Norhidayah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
Pemandu kereta Mercedes lelaki berusia 54 tahun itu pula mengalami kecederaan ringan.
Menurut Nurhayati, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika menunggu kelas fardu ain secara dalam talian di rumahnya, kira-kira pukul 5.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 pemandu kereta Mercedes itu sebelum siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca kereta dipandunya memasuki laluan bertentangan.
Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku di satu selekoh berhampiran Petronas Batu 9, Tanjong Karang.
“Tiba di tempat kejadian (selekoh), tiba-tiba kereta Mercedes dari arah Kuala Selangor menuju ke Sabak Bernam masuk ke haluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan kereta Toyota Camry,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Sha Sabarina dari Taman Sentosa, Klang dan Norhidayah dari Sungai Burong, Sekinchan maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes dipandu seorang lelaki yang merupakan seorang peniaga.- UTUSAN











