Geran tahunan kepada Sabah meningkat lima kali ganda - Utusan Malaysia

Geran tahunan kepada Sabah meningkat lima kali ganda

MAXIMUS Ongkili (tiga kiri) bersama Tengku Zafrul Abdul Aziz (empat kiri) dan Masidi Manjun (empat kanan) selepas perbincangan di Menara Kinabalu pada Isnin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah bakal menerima geran tahunan lima kali ganda lebih banyak daripada geran tahunan yang diterima sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, perkara itu dipersetujui selepas perbincangan bersama  Kementerian Kewangan negeri dan Persekutuan baru-baru ini.

“Kerajaan negeri akan menerima geran tahunan yang berjumlah lima kali ganda daripada geran khas tahunan yang diterima. Ia dua kali lebih banyak daripada dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

“Ini membuktikan kebolehan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memperjuangkan hak Sabah dan memelihara hubungan baik antara negeri dan Persekutuan untuk berkongsi kemakmuran ekonomi dengan rakyat Sabah,” katanya.

Bagi pihak Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), beliau turut memaklumkan formula baharu bagi pemberian geran tahunan itu akan ditandatangani dan dilancarkan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mesyuarat MKMA63 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Menurut Maximus, Kementerian Kewangan negeri dan Persekutuan masing-masing telah memberi taklimat kepada kementerian dan Kabinet masing-masing mengenai hasil perbincangan Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) bagi menyemak semula geran di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara kedua-dua kementerian.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, biarpun banyak percanggahan berkaitan peruntukan undang-undang dan hak perlembagaan namun, kerajaan negeri berjaya mencapai persetujuan menerusi kerja keras yang dilakukan.

JCC dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun serta turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya