Fahmi Reza didakwa lagi

Fahmi Reza didakwa lagi

Fahmi Reza
FAHMI Reza mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan isu minuman keras di Mahkamah Sesyen di ibu negara hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Genap seminggu didakwa atas pertuduhan membuat komunikasi jelik berkaitan dengan  isu kelonggaran pelaksanaan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza hari ini didakwa sekali lagi atas pertuduhan serupa.

Kali ini, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berkaitan dengan poster yang mengaitkan parti politik Pas dengan arak dipercayai berhubung isu pengharaman jualan minuman keras.

Fahmi atau nama penuhnya  Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 45 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fahmi didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di laman sosial Facebook atas profil Fahmi Reza kira-kira pukul 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

Hantaran (posting) tersebut kemudian telah dibaca kira-kira pukul 9 pagi, 2 Jun 2021 di sebuah pangsapuri di Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul dekat sini.

Pertuduhan terhadap Mohd. Fahmi yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS) dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin namun OKS yang diwakili peguam Rajsurian Pillai memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

Melarikan diri

“OKS bukanlah seorang yang mempunyai potensi untuk melarikan diri (flight risk) dan tidak akan mengganggu mana-mana saksi. OKS juga tidak akan mengganggu mana-mana bahan bukti memandangkan peralatan elektroniknya telah dirampas dan dihantar kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia sewaktu siasatan.

“OKS juga telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan. Jumlah RM10,000 adalah keterlaluan memandangkan OKS telah membayar jamin RM5,000 bagi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Februari lalu,” katanya.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan masing-masing menetapkan wang jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Mac ini.

Pada 10 Februari lalu, Mohd. Fahmi didakwa membuat penghantaran berkaitan isu kelonggaran pelaksanaan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan, pereka grafik itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan laman profil Twitter Fahmi Reza atau@kuasasiswa pada pukul 3.02 petang, 10 Februari 2021. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya