PUTRAJAYA: Hanya 51.2 peratus dalam kalangan orang Melayu yang berkelayakan tampil mendapatkan dos penggalak Covid-19 sekali gus menjadikan kumpulan terendah berbanding kaum lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, masyarakat Cina mempunyai liputan tertinggi dengan 86.2 peratus mengambil dos tambahan itu diikuti India sebanyak 61.6 peratus.
Malah, menurut beliau, bukan warganegara lebih menyambut baik apabila direkodkan 100 peratus daripada mereka yang layak mengambil dos penggalak.
“Ini mungkin disebabkan ada dalam kalangan mereka (Melayu) mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat salah yang tersebar dalam media sosial khususnya berkenaan dos penggalak,” katanya di sini semalam.
Kata Chee Kheong, berdasarkan soal selidik bertajuk ‘Persepsi terhadap pengambilan Dos Penggalak dalam kalangan populasi Malaysia (Inception-B)’ yang dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal pada 15 hingga 26 Oktober tahun lalu, hanya 48.8 peratus menyatakan mendapat maklumat mencukupi berhubung dos penggalak.
Atas dasar itulah, beliau yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Pantas Covid-19 Kebangsaan berkata, Jawatankuasa Strategi Komunikasi PICK-Booster diwujudkan khusus untuk memperkukuh penyampaian mesej berkaitan dos penggalak kepada orang awam.
Responden
Jelas beliau, hasil kajian sama juga mendapati, sebanyak 76.2 peratus responden bersetuju mengambil dos penggalak dan daripada jumlah tersebut, hanya 39.9 peratus bersetuju mengambil dos penggalak daripada jenis berlainan (heterologous) dengan dos primer.
“Ini membuktikan bahawa kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksin Covid-19 adalah baik, tetapi majoriti memilih mengambil dos penggalak daripada jenis yang sama (homologous) dengan dos primer.
“Ini mungkin menyebabkan kadar rendah kedatangan bagi dos penggalak kerana pada masa tersebut, hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebagai dos penggalak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada keperluan untuk seseorang menilai tahap imun sebelum mendapatkan dos penggalak sebagai saranan pelbagai pihak.
Katanya, buat masa ini ujian serologi untuk menentukan tahap imun seseorang hanya digunakan di dalam penyelidikan dan belum digunakan secara meluas dalam kalangan orang ramai.
Mengulas mengenai cadangan Covid-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang diberikan kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi, beliau berkata, KKM telah membuat perolehan ubat antiviral dan garis panduan penggunaan sedang dimuktamadkan.
Katanya, pesakit Covid-19 berisiko tinggi diutamakan untuk diberi rawatan berkenaan.
Beliau menjelaskan, jika sesuatu penyakit itu tiada rawatan khusus, langkah pencegahan adalah kaedah utama untuk mengelakkan morbiditi dan mortaliti daripada penyakit tersebut.
“Vaksinasi adalah satu langkah pencegahan di samping langkah kesihatan awam lain. Dengan adanya rawatan khusus melalui ubat antiviral, ini adalah langkah tambahan mengelakkan morbiditi dan mortaliti.
“Vaksinasi masih lagi penting tetapi bukan keutamaan manakala individu akan diberikan pilihan sama ada untuk mendapat vaksin bagi mendapatkan perlindungan tambahan atau sebaliknya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, bagi individu rentan dan mempunyai risiko tinggi seperti individu imunokompromi dan anggota perubatan, vaksinasi mungkin masih menjadi keutamaan bergantung kepada data-data yang diperoleh dari semasa ke semasa. – UTUSAN











