Ceramah dari Baitulmaqdis antara pengisian Minggu Al-Quds Yadim

Ceramah langsung dari Baitulmaqdis antara pengisian Minggu Al-Quds Yadim

PELBAGAI program menarik disusun sempena meraikan Minggu Al-Quds Sedunia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini berpeluang menyaksikan ceramah yang dibawakan istimewa secara langsung dari Baitulmaqdis sempena penganjuran Minggu Al-Quds 2022.

Program khas julung kali berkenaan antara pengisian diatur oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai penganjur bersama-sama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).

Menurut agensi tersebut, pelancaran minggu itu telah disempurnakan oleh Penasihat Nadwah Ilmuwan Muslim Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali pada Khamis lalu.

“Perasmian itu turut dihadiri Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan dan uniknya, sebanyak 70 buah negara dilaporkan mengambil bahagian,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Acara yang berlangsung sehingga 5 Mac depan itu bertujuan bagi menghidupkan semangat perjuangan masyarakat bagi menentang kezaliman Zionis dan pembebasan Masjid Al-Aqsa.

Ia ujarnya, turut bermatlamat bagi membina penyatuan dan persefahaman dalam kalangan Muslim selain mencetuskan gelombang kekuatan Islam dan umatnya untuk bangkit bersatu.

Yadim namun tidak menyatakan tarikh acara ceramah khas berkenaan tetapi memaklumkan bahawa semua program disusun akan disiarkan menerusi akaun sosial Facebook rasminya.

Turut bakal diadakan ialah pertandingan pidato, forum khas, khutbah Jumaat khas, pameran, video dan poster mengenai Al-Quds yang memaparkan tema tanda solidariti banyak pihak.

“Yadim juga ingin mengajak orang ramai agar bersama-sama meraikan sambutan minggu ini dengan diseru berkongsi segala pengisian bermanfaat dalam program tersebut,” jelasnya.

Pemilihan sambutan kali ini pada minggu terakhir Rejab juga bersempena bulan keramat pembebasan Baitulmaqdis oleh panglima Islam tersohor, Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1187.

Di Malaysia, Minggu Al-Quds mula diraikan secara formal sejak 2017 di samping Hari Al-Quds Antarabangsa pada setiap 7 Mei sebagai memperingati pembentukan negara haram Israel.

Al-Quds amat bermakna kepada umat Islam kerana di sini terletaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama sebelum bertukar arah kepada Kaabah di Masjidil Haram, Makkah.

Malah Masjid Al-Aqsa adalah ketiga paling suci dalam ajaran Islam selepas dua Tanah Haram di Arab Saudi sehingga Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya datang menziarah.

Orang ramai juga boleh menyumbang kepada Yadim bagi menjayakan pelbagai program yang dirancangnya itu dengan menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 5660 1062 5428.

Derma berkenaan juga boleh dipindahkan terus secara atas talian dengan melayari laman sesawang rasmi Yadim dan kemudian klik ruangan Sumbangan Dana di halaman utama. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya