Boikot jika peniaga bazar Ramadan kaut untung melampau  - Utusan Malaysia

Boikot jika peniaga bazar Ramadan kaut untung melampau 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengguna mempunyai pilihan memboikot gerai makanan atau minuman di bazar Ramadan sekiranya peniaga menaikkan harga melampau atau tidak masuk akal. 

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, pengguna mempunyai kuasa dalam  membuat sebarang keputusan pembelian selain perlu bijak memilih juadah mengikut keperluan semasa dan bukannya untuk kepuasan diri. 

Menurutnya, amalan membeli makanan dengan harga yang berpatutan sepanjang Ramadan juga mampu mengelak pengguna daripada terus bersikap boros. 

“Pengguna boleh memboikot mana-mana peniaga yang cuba mengaut keuntungan berganda dan beralih selera di tempat lain yang menawarkan harga makanan yang lebih rendah dan berpatutan. 

“Memang diakui ramai peniaga makanan terkesan dengan kenaikan harga barangan mentah termasuk sayur-sayuran daripada pemborong atau pembekal, namun mereka juga perlu bijak membuat pilihan membeli di tempat lain dengan harga lebih berbaloi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. 

Beliau memberitahu, pihaknya berharap isu kekurangan bekalan barangan keperluan di negara ini dapat diselesaikan menerusi perbincangan bersama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). 

“Peranan FAMA sangat mustahak ketika ini dalam membantu membekalkan  barangan keperluan yang terkesan seperti sayur, ayam dan telur. 

“Peniaga bazar Ramadan juga disaran menyelaraskan harga bagi semua makanan dan minuman. Jangan tunggu sampai pengguna naik angin gara-gara kenaikan harga makanan yang tidak masuk akal. Contohnya, harga sebungkus nasi goreng perlu diselaraskan RM2 atau maksimum RM4 seperti harga barang kawalan,” jelasnya. 

Dalam pada itu tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu memantau isu kenaikan harga makanan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang cuba mengaut keuntungan terlampau. 

“KPDNKK juga dicadang mendirikan khemah di setiap bazar Ramadan  bagi memudahkan pihak pengguna terus membuat laporan berhubung masalah yang berbangkit,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×