covid-19

Bekalan RTK: Tindakan tegas kepada peniaga engkar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (RTK) bagi mengelak dikenakan tindakan tegas. 

Menurut kenyataan KPDNHEP, pihaknya mengambil maklum peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam media arus perdana akhir-akhir ini, menyumbang kepada peningkatan permintaan ke atas RTK dalam pasaran.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan, sehingga kini terdapat kira-kira 18 juta unit RTK tersedia dalam pasaran. Sejumlah 8,084 premis runcit diberi kelulusan menjual RTK diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

 “Sebagai makluman, lapan pengilang Establismen yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari, manakala negara mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujuh negara. Jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran sehingga hujung Februari adalah 6.647 juta unit,” kata  kenyataan itu.

Berdasarkan statistik, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus sangat rendah iaitu pada tahun ini bermula 1 Januari sehingga semalam, hanya tiga aduan  diterima oleh pihak kementerian.

Katanya, julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 pada ketika ini manakala, 80 peratus RTK dijual di bawah RM10 seunit. 

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu.

“Selain itu, kementerian juga sentiasa melakukan penguatkuasaan ke atas keberadaan bekalan kit ujian ini dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala setiap hari terutamanya di peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil di dalam pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, KPDNHEP menegaskan, peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang boleh dikenakan penalti. 

Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya manakala, bagi syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta. 

Sehubungan itu, KPDNHEP menasihati pengguna agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan dari keperluan dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN