KUALA KRAI: Seramai 22 jemaah yang baru pulang mengerjakan umrah berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang membawa mereka terbabas ke dalam longkang di Manek Urai, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, kesemua penumpang termasuk pemandu bas berusia 37 tahun dan kelindan berusia 21 tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwan Arrafee Parsimin berkata, jemaah umrah tersebut terdiri daripada 11 lelaki dan 11 perempuan.
“Kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 6.47 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kira-kira pukul 7.16 pagi, kita dapati semua penumpang sudah keluar dari bas tanpa kecederaan teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Rizwan Arrafee berkata, kumpulan jemaah terbabit baru tiba di tanah air dan menaiki bas berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi menuju ke Kuala Krai.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada keadaan jalan raya yang licin akibat hujan lebat yang menyebabkan pemandu gagal mengawal bas persiaran tersebut. – UTUSAN









