PONTIAN: “Seandainya saya terpaksa melawan ‘gergasi’, ia merupakan satu cabaran kepada insan kerdil ini jika pucuk pimpinan parti meminta saya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.”
Demikian penjelasan Aziz Shari, 33, yang merupakan adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari mengenai spekulasi namanya akan dicalonkan mewakili PKR untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor..
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pontian itu berkata, sebagai anak jati Benut, ia merupakan satu penghormatan menentang Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang sudah menyandang kerusi itu selama tiga penggal.
“Saya pun tak pasti nama saya akan dicalonkan atau sebaliknya tetapi setelah tersebar di media massa, saya tak tahu nak cakap apa cuma boleh kata kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti.
“Semua orang memasang impian bertanding dalam PRN Johor walaupun terpaksa menentang calon yang kuat. Malah, saya juga tidak akan beralih atau bertanding di kerusi lebih selamat sebagaimana pandangan rakan-rakan kerana Benut adalah tempat yang sesuai walaupun terpaksa bertarung dengan ‘gergasi’,” katanya.
Ura-ura Aziz akan menentang Hasni tersebar selepas DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Hasni mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008 selepas menewaskan calon Pas, Sarobo Ponoh dengan majoriti 6,302 undi.
Pada 2013, Hasni menentang calon yang sama dan memperoleh majoriti 6,572 undi, sementara pada PRU-14, beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Zulkifly Tasrif dan calon Pas, Mohd. Firdaus Jaafar dengan kelebihan 4,447 undi.
Sementara itu, Aziz berkata, pelantikan sebagai Ketua AMK cabang itu sejak 2018 memberikan lebih banyak ruang kepadanya mendekati masyarakat walaupun ketika itu masih bertugas sebagai kakitangan awam. – UTUSAN










