HULU TERENGGANU: Empat individu positif Covid-19 di samping 22 kontak rapat yang merupakan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) khas Sekolah Kebangsaan (SK) Menerong di sini, malam tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Terengganu, Kapten (A) Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada empat keluarga itu dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong.
Katanya, bantuan untuk memindahkan mangsa digerakkan selepas menerima panggilan pada pukul 8 malam dan pihaknya terpaksa menggunakan jalan alternatif di Kampung Cheting kerana laluan utama di jalan Pengkalan Ajal-Felda Mengkawang ditutup kepada semua kenderaan.
“Mangsa yang berusia antara dua hingga 58 tahun itu menjalani kuarantin di rumah dan urusan pemindahan dijalankan sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zabri berkata, anggota bertugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika operasi pemindahan itu dan lori segera dinyah kuman selepas urusan selesai. UTUSAN










