TAIPING: Golongan agamawan di negara ini diminta menghentikan perbalahan mengenai perselisihan pendapat mereka dalam perkara berkaitan agama atau isu dalam media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mereka perlu menghentikan segera berdebat secara terbuka dalam media sosial untuk mengelak persepsi negatif dalam kalangan orang Islam sendiri.
“Nasihat saya hentikanlah segera daripada perdebatan yang tiada pengakhiran, lebih baik beri tumpuan kepada kemaslahatan umat Islam pada masa ini. Lebih baik berdamai dan masing-masing bermuhasabah diri dan memperbetulkan keadaan semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini hari ini.
Menurut Idris, golongan agamawan yang mempunyai pendapat berbeza dalam satu-satu perkara berkait agama seharusnya berbincang secara tertutup dan bukan dihebahkan kepada umum.
Menurutnya, berbeza pandangan dan pendapat tidak menjadi masalah tetapi apabila ia dipertontonkan kepada umum, pasti mencetus perbalahan sesama agamawan.
“Kesan daripada perdebatan agamawan secara umum juga akan menyebabkan umat Islam yang kurang pengetahuan agama akan berpecah belah, menjadi berpuak-puak kerana ketaksuban terhadap agamawan yang mereka lebih cenderung. Ini akhirnya juga akan menyebabkan orang yang ingin dekat pada agama akan semakin menjauh,” katanya.
Kata Idris, golongan itu tentunya sudah sedia maklum bahawa setiap ilmu yang dipelajari ada kurang dan ada lebihnya.
Dalam konteks ini, kata beliau, sepatutnya jika ada pandangan yang berbeza dan ingin berbincang, ia perlu dibuat secara tertutup.
“Keputusan hasil daripada perbincangan itu adalah untuk penambahan ilmu di antara mereka. Tidak perlu untuk didedahkan kepada awam kerana orang awam mungkin tidak faham perkara yang dibincangkan,” katanya. – UTUSAN










