KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah calon dalam kalangan wanita diumumkan Barisan Nasional (BN), iaitu seramai 10 orang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini menunjukkan parti itu semakin yakin dengan kemampuan golongan itu untuk menyumbang kepada kemenangan parti.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peningkatan tersebut yang tidak termasuk calon dari parti komponennya, MCA, berbeza dengan rekod enam wanita yang pernah dipertanding BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Ini menunjukkan kepemimpinan parti memberi pengiktirafan kepada wanita yang sememangnya kelayakan menjadi wakil rakyat di DUN.
“Pencalonan lebih ramai wanita mewakili BN juga memberi peluang lebih tinggi untuk melihat lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan wanita diangkat menjadi Exco kerajaan negeri jika BN diberi mandat menjadi kerajaan di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berharap pengundi di negeri berkenaan dapat membuat pilihan tepat kerana telah membuktikan hanya BN dapat mentadbir Johor dengan baik dan komitmen BN adalah mengembalikan semula zaman kegemilangannya seperti sebelum ini.
“Kami di Wanita UMNO dan BN, dengan ini memberi komitmen memastikan setiap calon kami menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya negeri ini sesuai dengan tema Kestabilan Demi Masa Depan,” katanya.
BN hari ini mengumumkan 41 nama calonnya daripada UMNO (37 kerusi) dan MIC empat kerusi.
MCA pula bertanding 15 kerusi bagaimanapun, MCA belum mengumumkan calon-calonnya yang dipercayai berlaku penyusunan semula calon. – UTUSAN










