'War room' UMNO sudah lama rancang bubar DUN Johor - Suhaizan Kaiat - Utusan Malaysia

‘War room’ UMNO sudah lama rancang bubar DUN Johor – Suhaizan Kaiat

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah idea ‘war room’ UMNO kerana mereka berasa mempunyai kelebihan ketika ini.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, ‘war room’ UMNO itu juga sudah merancang lama untuk mengadakan PRN Johor dan hanya menunggu masa sesuai berbuat demikian.

Jelasnya, UMNO juga tahu jika PRN diadakan dalam situasi semasa, peratusan penduduk keluar mengundi di bawah 65 peratus akan memanfaatkan mereka.

“Apa yang berlaku di Johor hari ini memang sudah dirancang oleh UMNO melalui Timbalan Presidennya, iaitu Datuk Seri Mohamad Hassan yang menyatakan parti itu akan menang besar sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.

“Itu memang hajat UMNO dan kini mereka mahu merealisasikannya, sementara negeri Johor dan rakyatnya menjadi mangsa keadaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor memberitahu, itu satu tindakan tidak bermoral kerana pelbagai agenda yang memanfaatkan rakyat tertangguh akibat pembubaran DUN.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata pihaknya tidak menafikan kemenangan besar UMNO dalam PRN Melaka lalu kerana berjaya memanfaatkan situasi semasa dan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya