KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet perlu dengan memansuhkan beberapa portfolio termasuk menteri kanan, sebaliknya melantik seorang timbalan perdana menteri yang memiliki kredibiliti membantu Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, cara itu mungkin tidak akan menstabilkan keadaan politik, namun adalah yang terbaik demi kepentingan rakyat, bukan lagi parti politik.
“Letak banyak menteri kanan sekalipun, apa fungsi mereka ketika banjir ini? Yang ada sekarang pun tenggelam timbul. Jadi, kita perlukan seorang timbalan perdana menteri yang benar-benar cekap untuk membantu Perdana Menteri menangani masalah yang berlaku khususnya banjir.
“Jika Perdana Menteri ingin kembali berfungsi dalam keadaan masih diterima rakyat, rombakan perlu dibuat, wujudkan jawatan timbalan perdana menteri dan gugurkan mana-mana menteri yang tidak berfungsi, gantikan dengan pemimpin yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, di Melaka, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung rombakan Kabinet, orang ramai boleh menganggap cerita tersebut sebagai khabar angin.
Katanya, senarai nama yang bertebaran di platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.
“Nama-nama itu, macam-macam keluar. Macam biasalah dulu pun macam itu juga. Saya sudah beritahu tadi, fokus saya sekarang ini adalah untuk banjir, jadi saya tak nak cakap pun soal ada ke tidak ada. Setakat ini selagi saya tak umumkan tiadalah, belum sampai masanya.
“Esok mesyuarat Kabinet. Topik utama yang kita akan bincang dua. Yang pertama daripada segi banjir. Yang kedua daripada segi masalah Covid-19. Agak membimbangkan walaupun kes kita masih di bawah 3,000 tetapi Covid-19 ini nampak gayanya akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.
Perdana Menteri mengulas laporan Utusan Malaysia, semalam tentang spekulasi beliau dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.
Menurut sumber, kebanyakan menteri dan timbalan menteri sudah mengetahui perkara tersebut.
Bagaimanapun, kata sumber berkenaan, rombakan itu masih dalam proses ‘tawar-menawar’ untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.
Dalam pada itu, Salawati berkata, kecekapan perlu ada dalam menangani masalah yang menimpa masyarakat di mana memerlukan seorang pemimpin yang lebih baik.
Geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, rombakan yang dibuat hanyalah perlu untuk menukar menteri yang berfungsi kepada portfolio yang lebih penting, sementara jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah tidak perlu bagi memelihara kestabilan politik.
“Lantikan Timbalan Perdana Menteri dengan rombakan Kabinet mungkin berkait. Ada tiga menteri tidak memberi gambaran baik dalam isu banjir, jadi bila rombakan berlaku dalam UMNO sahaja, ia mungkin tidak ada masalah sebab Perdana Menterinya adalah UMNO. Tetapi kerajaan hari ini terkena tempias disebabkan beberapa pemimpin yang culas dalam memainkan peranan.
“Bagaimanapun demi menjaga kestabilan politik, kekalkan menteri yang tidak efektif ini kepada portfolio yang kurang kepentingannya dan tingkatkan kecekapannya,” katanya. – UTUSAN










