Thaipusam: Beberapa laluan di pusat bandar Georgetown ditutup - Utusan Malaysia

Thaipusam: Beberapa laluan di pusat bandar Georgetown ditutup

SOFFIAN Santong menunjukkan carta pergerakan perarakan pedati sempena sambutan Thaipusam pada Isnin dan Rabu depan dalam sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Beberapa laluan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula Isnin hingga Rabu ini antara pukul 6 pagi hingga 7 malam  sempena sambutan perayaan Thaipusam. 

Antara jalan terlibat termasuk Jalan Gotlieb/Jalan Burma; Jalan Brown/Jalan Tunku Abdul Rahman; Lorong Air Terjun;  Jalan D. S. Ramanathan/Jalan Gotlieb; Jalan D. S. Ramanathan/Jalan Brown; Jalan Utama/Jalan Brown; Lebuhraya Rose/Jalan Brown dan Jalan Wright/Jalan Burma.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perarakan pedati akan bermula pukul 6 pagi Isnin ini bagi pedati Emas dan pukul 7 pagi bagi pedati Perak. 

Menurut beliau, perarakan itu akan bermula dari Kuil Lebuh Queen ke Kuil Air Terjun sejauh 6.5 kilometer (km) melalui 12 laluan utama. 

Bagi perjalanan balik katanya, pedati Emas akan bergerak pukul 6 petang manakala pedati Perak pukul 7 malam pada Rabu ini melibatkan jarak perjalanan masing-masing 9.1km dan 8.7km. 

“Seperti ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya 100 penganut dibenarkan mengiringi perarakan pedati, justeru kita berharap mereka yang tidak berkenaan tidak turut terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut Soffian, seramai 70 anggota polis akan mengiringi perarakan pergi dan balik pedati Perak dan Emas itu bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang upacara tersebut. 

Jelas beliau, mereka merupakan sebahagian daripada 1,300 anggota dan pegawai polis yang ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam tahun ini yang turut dibantu anggota pelbagai agensi lain yang akan bertugas sama ada di luar atau di dalam kuil. 

Dalam pada itu, Soffian turut menasihatkan mereka yang akan menghadiri upacara tersebut sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan negara masih dalam pandemik Covid-19. 

Jelas beliau, SOP seperti mengimbas kod MySejahtera; mengekalkan penjarakan fizikal; mencatit suhu dan memakai pelitup muka perlu diamalkan sepanjang masa sepanjang sambutan upacara itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 

Tegasnya, tindakan kompaun boleh dikenakan sekiranya pihak polis serta Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku pelanggaran SOP oleh mana-mana pihak sepanjang upacara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya