JOHOR BAHRU: Warga emas yang terlibat membunuh tiga mangsa termasuk seorang wanita warganegara asing di di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Ahad lalu melepaskan enam das tembakan dalam insiden tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, perkara itu berdasarkan jumlah kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian, bagaimanapun laporan forensik penuh terhadap mangsa masih belum diperoleh.
Katanya, motif utama suspek berusia 71 tahun itu bertindak nekad sedemikian adalah disebabkan hutang yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM50,000.
“Suspek iaitu seorang pekebun dipercayai bertindak demikian melibatkan hutang terhadap seorang wanita Vietnam berusia 37 tahun yang diberikan sejak 2023 secara berperingkat.
“Suspek dipercayai memberi wang untuk membantu wanita yang merupakan rakannya itu menguruskan kedai makan milik keluarga mentuanya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, dua lagi mangsa maut merupakan pelanggan di kedai tersebut yang berusia 61 dan 63 tahun.
“Ujian urin suspek mendapati dia negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Kota Tinggi Isnin ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










