Teksi EV pertama di ASEAN bakal beroperasi September depan

Teksi EV pertama di ASEAN bakal beroperasi September depan

Kabeer (empat dari kanan) dan Kamarudin (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU bagi pengoperasian teksi EV di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Industri teksi negara mencipta sejarah baharu apabila bakal memperkenalkan perkhidmatan teksi kenderaan elektrik (EV) dengan sistem penukaran bateri automatik yang pertama di negara ini.

Lebih membanggakan, konsep itu menjadi antara yang terawal di rantau ASEAN yang mengaplikasikan teknologi itu dalam pengangkutan awam.

Inisiatif itu dicetuskan lima entiti iaitu Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), EV Auto Works Sdn. Bhd., Voltgerm Energies Sdn. Bhd., GV Car Import Sdn. Bhd. dan Alirantek (M) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, buat permulaan, sebanyak 3,000 teksi EV akan mula beroperasi seawal suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini bakal mengubah landskap industri teksi dan e-hailing menerusi penggunaan teknologi EV berkecekapan tinggi.

“Sejak dicetuskan tahun lalu, konsep teksi EV itu telah menarik minat lebih 600 pemandu teksi dan e-hailing,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Katanya, sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan Voltgerm Energies itu membolehkan bateri ditukar dalam tempoh singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu proses pengecasan seperti kebiasaan.

Kabeer berkata, konsep penukaran bateri itu hampir menghapuskan masa henti operasi, sekali gus membolehkan pemandu berada lebih lama di jalan raya dan meningkatkan potensi pendapatan harian.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemandu teksi EV akan menerima pakej pakej komprehensif termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, sewaan kenderaan serendah RM80 sehari dan penyelenggaraan penuh termasuk komponen haus dan lusuh.

Menurutnya, pemandu turut menikmati jaminan bateri sepenuhnya, perlindungan insurans serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN