PETALING JAYA: Penjelasan terbaharu Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak bermakna Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terlepas daripada dipanggil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli PSC, William Leong Jee Keen berkata, PSC dan SC adalah dua badan berbeza, malah setiap daripadanya berlainan bidang kuasa serta undang-undang untuk menyiasat berhubung isu membabitkan pelanggaran pemilikan saham Azam.
Kata Ahli Parlimen Selayang itu, Azam wajib menghadiri mesyuarat PSC meskipun terdapat badan lain memutuskan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bebas daripada salah laku.
“PSC ada undang-undang tersendiri iaitu di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa) 1952 dan berhak memanggil sesiapa pun untuk mendengar penjelasan. Kita tidak terikat dengan mana-mana pihak kerana wujud pengasingan kuasa antara badan Eksekutif dan Parlimen.
“Tidak kira SC, mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan terhadap kes ini, beliau kena hadir ke PSC setelah diminta berbuat demikian,” katanya.
Kelmarin, SC menjelaskan bahawa isu pemilikan saham oleh Azam tidak dapat dimuktamadkan mengenai pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
SC membuat kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan mengenai Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam.
Mengulas lanjut, William menjelaskan, Azam wajib hadir ke mesyuarat PSC setelah disapina dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keistimewaan dan Kuasa Parlimen 1952.
Kata beliau, terdapat beberapa nama selain Azam bakal dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada PSC bagi mendengar berkenaan isu pemilikan saham tersebut.
Selain itu, seorang lagi anggota PSC, Shaharizukirnain Abd. Kadir yang merupakan Ahli Parlimen Setiu berkata, tarikh baharu mesyuarat PSC belum lagi diputuskan.
Sepatutnya mesyuarat itu berlangsung semalam, namun ditangguhkan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) Parlimen.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Azam sewajarnya berani mendedahkan kebenaran kes dihadapi sekiranya yakin tidak bersalah.
Jelas beliau, hal ini kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dilihat yakin kepada media bahawa dirinya tidak bersalah dan beliau juga berada di pihak yang benar.
“Oleh demikian logiknya, pihak yang yakin bahawa dia adalah benar dan kebenaran juga berada di pihaknya, sudah tentu sepatutnya dia perlu lebih yakin dan bersemangat untuk berkongsi kebenaran itu secara terbuka. Baru kita yakin dia benar-benar yakin,” jelasnya. – UTUSAN










