Sesak sebab RFID - Utusan Malaysia

Sesak sebab RFID

Aliran trafik bersempena Tahun Baharu Cina dijangka meningkat sehingga 2.6 juta kenderaan sehari ekoran pergerakan orang ramai ke seluruh negara bermula minggu depan. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan ri­buan kenderaan di beberapa Pla­za Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terjejas sehingga menimbulkan kesesakan di ke­dua-dua hala apabila sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dipercayai tidak berfungsi dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur mendapati aliran trafik bagi lorong yang menggunakan sistem RFID terganggu apabila sistem tersebut tidak dapat mengesan kenderaan pengguna sehingga menyebabkan barisan menjadi panjang.

Malah, lorong TnG dan SmartTAG juga sesak dengan kenderaan beratur panjang berikutan bilangan laluannya yang dikurangkan dan pada masa yang sama pemandu menukar haluan daripada lorong RFID sehingga mengganggu aliran trafik.

Dianggarkan lebih 10 juta ken­deraan di jalan raya bakal ber­alih kepada penggunaan RFID dengan setiapnya perlu membayar caj RM35 yang di­kenakan untuk setiap kenderaan.

Rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui menyatakan rasa kesal kerana penggunaan TnG dan SmartTAG di plaza-plaza tol PLUS selepas ini akan dimansuhkan secara berperingkat.

Malah, pengguna lebuh raya mengeluh kerana kemudahan untuk memasang sistem RFID tidak meluas, malah juga sukar mencari premis-premis yang menawarkan perkhidmatan ber­­ke­naan.

Pengguna lebuh raya, Amir Razim Ab Rahim, 54, berasa ralat apabila mendapat tahu sistem TnG dan SmartTAG akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat kerana baginya tindakan itu menyekat kebebasan untuk memilih.

Jelasnya, yang menggunakan transaksi TnG, kerajaan perlu memberi ruang dengan mengekalkan penawaran pelbagai transaksi di lebuh raya bagi memudahkan pengguna khususnya warga emas yang sukar memahami penggunaan aplikasi baharu.

“RFID ni adalah pembaharuan yang bagus, saya tidak nafikan perkara itu tetapi tidak perlu hingga mewajibkan kerana masih ramai menggunakan sistem lain dan mereka selesa. Jadi, bagi saya, perlu ada kepelbagaian untuk memudahkan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Aida Iliana Hamadi, 24, berpendapat, pengenalan RFID menyusahkannya kerana memerlukan pemasangan dan ditambah pula beliau baru sahaja mendapatkan peranti SmartTAG yang baharu.

“Saya sendiri dah ada alat SmartTag dan peranti itu sendiri sudah mahal dengan harganya melebihi RM100, jadi bila mereka nak mansuhkan transaksi demi menggalakkan masyarakat menggunakan RFID ni agak tidak adil untuk pengguna seperti saya,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, sistem RFID baik, namun pengurangan sistem lain seperti SmartTag dan TnG bukan langkah baik.

Katanya, RFID adalah sistem tol terbaik yang turut dipakai oleh negara maju kerana melancarkan kenderaan di lebuh raya dan membuatkan pemandu merasai pengalaman efisien sehingga tidak mendatangkan masalah kepada mereka.

“Jika pergi ke Jepun dan Singapura, kita boleh lihat berapakan tahap keberkesanan sistem RFID kepada pengguna jalan raya di sana, tetapi di sini mungkin rakyat masih tidak bersedia. Jadi wujud kecelaruan pada masyarakat terhadap penggunaan sistem tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain berkata, pemansuhan sistem sedia ada hanya akan menyusahkan rakyat.

“Sebelum ini mereka memperkenalkan sistem SmartTAG, tetapi berapa ramai yang menggunakan sistem ini? Masyarakat masih menggunakan TnG. Sistem RFID tidak boleh dinafikan bagus tetapi jangan hingga memaksa pengguna,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN