RFID: Semua pihak mula campur tangan - Utusan Malaysia

RFID: Semua pihak mula campur tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakin ba­nyak pihak campur tangan da­lam kontroversi pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dipertikaikan ramai pengguna mengenai pelaksanaan yang menimbulkan suasana kelam-kabut, harga yang tidak munasabah dan tahap keberkesanan peranti itu.

Di semua lebuh raya di Lembah Klang, sistem RFID sudah lama digunakan dan tidak timbul sebarang masalah kerana ia adalah satu pilihan tetapi pelaksanaannya di Lebuh Ra­ya Utara Selatan (PLUS) menjadi isu besar kerana pengguna ‘dipaksa’ beralih ke sistem tersebut sedangkan sebahagian besar pengguna belum bersedia.

Keadaan diburukkan lagi apabila harga pelekat sistem teknologi itu dijual pada harga RM35 sekeping.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pengguna Projek Le­buhraya Utara-Selatan diberikan pilihan dan tidak dipaksa untuk menerima sistem bayaran tol secara RFID itu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga mengekalkan semula lorong Smart Tag dan Touch ‘n Go selain tambahan kaedah pembayaran melalui teknologi RFID.

Sebanyak 43 lorong Smart Tag dijangka dibuka semula secara berperingkat di 34 plaza tol bagi memberi kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

Sebelum ini, LLM dilaporkan bertemu dengan pengurusan PLUS dan Touch nGo untuk membincangkan pengurangan harga pelekat teknologi RFID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan (MyCC), Iskandar Ismail berkata, pihaknya berkongsi pandangannya dalam perjumpaan bersama PLUS bahawa platform pembayaran tidak seharusnya terhad kepada e-wallet kelolaan Touch nGo sahaja tetapi turut dibuka kepada pengendali e-wallet yang lain.

Dalam pada itu, Pensyarah Institut Teknologi Maklumat Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, harga pelekat sistem teknologi yang ditawarkan ketika ini tidak berbaloi dengan kualiti dan kaedah pembuatannya yang hanya melalui proses biasa.

Katanya, ini kerana pelekat dan teknologi cetakan RFID itu menggunakan kaedah biasa sepertimana menghasilkan kod bar (barcode), maka syarikat atau mana-mana agensi bertanggungjawab itu hanya memerlukan perisian tertentu dan pencetak khas bagi mencetak pelekat RFID atau kod bar daripada pelekat berkenaan.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan terdapat perbelanjaan lain yang tidak diketahui umum menyebabkan harganya ditetapkan pada kadar RM35 sekeping, namun caj yang ditawarkan itu sudah melebihi pulangan kos sama ada dari segi servis dan kos.

“Pelekat RFID hanya menggunakan pelekat jenis biasa tetapi dalam masa sama mempunyai integrated circuit (litar bersepadu) jenis pasif yang tidak memerlukan bateri.

“Memang perlu diambil kira kos pencetak RFID, dakwat dan servis yang ditawarkan serta pembaca RFID, tetapi sepatutnya RM20 sudah memadai untuk mendapatkan pulangan kos dan menjana keuntungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Shafiza bimbang dengan masalah yang bakal dihadapi oleh mereka yang berusia yang tidak terlalu arif dengan teknologi, selain golongan B40 yang mempunyai kekangan dari segi telefon pintar.

Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, harga pelekat teknologi RFID bukan sahaja perlu dikurangkan tetapi perlu diberi percuma dengan mengambil kira proses pemulihan pandemik Covid-19 .

Katanya, perkara itu juga dapat menggalakkan para pengguna memilih menggunakan teknologi RFID itu dan tidak me­rugikan mereka yang baru sahaja mempunyai peranti Smart Tag atau kad Touch N Go (TnG).

“Pihak berkenaan perlu pertimbangkan (pemberian pelekat secara percuma), jika dulu kad TnG boleh digunakan banyak pengguna, tetapi satu kereta satu pelekat, maka jika ada tiga kereta, RM105 perlu dikeluarkan untuk sekadar memasang pelekat.

“Sebelum ini juga pelekat RFID diberi percuma, tetapi ke­rana iklan atau promosi tidak di­sampaikan secara menyeluruh kepada semua lapisan.

“Maka, banyak lapisan terutamanya pengguna di kawasan luar bandar tidak tahu tentang pemasangan RFID itu, jadi jika dulu boleh diberi secara percuma, mengapa sekarang tidak boleh?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN