Rayuan Najib: Queen's Counsel lebih berpengalaman - Utusan Malaysia

Rayuan Najib: Queen’s Counsel lebih berpengalaman

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Queen’s Counsel (QC) didakwa lebih berpengalaman untuk mengendali rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan sangat kompleks dan melibatkan isu-isu perundangan yang baru.

Oleh itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam suratnya kepada Mahkamah Persekutuan turut memohon agar rayuan akhir itu hanya didengar selepas Jun ini.

“Rayuan akan melibatkan jumlah ikatan dokumen yang banyak dan tebal. Dokumen yang dihantar dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan sahaja melibatkan 121 ikatan dokumen dan jumlah ini dijangka meningkat apabila ditambah dengan rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan.

“Kecuali penghakiman penuh yang dibuat di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, lain-lain dokumen adalah dalam Bahasa Malaysia. Dan semua dokumen ini perlu diterjemahkan sebelum sesalinannya diserahkan kepada QC untuk diteliti dan bagi memudahkan pihak kami untuk menjelaskan kepada QC.

“Atas alasan-alasan yang dinyatakan ini, kami (pembelaan dan Najib) percaya bahawa tarikh pendengaran sebelum Jun ini akan memprejudiskan perayu (Najib),” kata Muhammad Shafee dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi memaklumkan pihak pendakwaan menerima sesalinan surat tersebut melalui emel pada pukul 5.33 petang tadi.

Tambah peguam terbabit, tindakan menetapkan  tarikh pendengaran rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu juga akan memberikan persepsi kurang elok kepada badan kehakiman.

“Perayu merasakan beliau perlu diberikan masa yang secukupnya untuk menyediakan rayuannya dan bukannya disegerakan memandangkan ini merupakan rayuan terakhirnya.

“Perayu merasakan rayuannya seolah-olah dipercepatkan tanpa alasan munasabah. Persepsi (masyarakat) adalah amat penting bagi imej kehakiman,” ujar Muhammad Shafee.

Bagaimanapun, peguam itu tidak membantah agar rayuan berhubung permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu didengar pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 15 dan 16 Mac ini.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Pengurusan kes bagi rayuan berhubung sabitan dan hukuman Najib ditetapkan pada Jumaat ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya