PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan prestasi lebih meyakinkan dalam aksi pembukaan pada Terbuka Singapura, selepas membenam pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov di Kallang, Singapura, hari ini.
Gandingan No. 2 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-21 dunia tersebut 21-17, 21-15 dalam masa 37 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Aaron-Wooi Yik yang terkandas pada separuh akhir Malaysia Masters, minggu lalu, dijangka bertemu sama ada wakil Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi atau Ben Lane-Sean Vendy dari England di peringkat 16 terbaik.
Turut mara ke pusingan kedua, beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh dari Taiwan 20-22, 21-16, 21-15 dalam masa 51 minit.
Kemenangan itu sekurang-kurangnya meningkatkan keyakinan Pearly yang terpaksa disisihkan daripada Piala Uber, bulan lepas dan Malaysia Masters, minggu lalu gara-gara kecederaan belakang.
Pada pusingan kedua, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan sama ada Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dari Thailand atau pasangan Kanada, Jackie Dent-Crystal Lai.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran pula, gandingan No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetepikan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing 21-16, 21-19 dalam masa 40 minit.
Pada pusingan kedua, juara dunia itu akan menghitung pertemuan dengan pasangan ke-67 dunia, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong dari Korea Selatan.
Jae Hyeon-Ha Jung mengejutkan beregu negara yang menghuni ranking No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai 21-14, 13-21, 14-21 dalam masa 55 minit.
Satu lagi wakil negara dalam sektor beregu campuran, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terpaksa akur kepada wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 14-21, 22-20, 13-21 dalam masa 58 minit. – UTUSAN










