Raja bomoh malu dituduh syirik, mahu saman JAIPk RM300 juta - Utusan Malaysia

Raja bomoh malu dituduh syirik, mahu saman JAIPk RM300 juta

IBRAHIM Mat Zin (kiri) bersama seorang wanita dikenali Puteri Zaleha melakukan upacara menolak musibah banjir di Dataran JPS, Teluk Intan yang tular dalam media sosial. - FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Apabila dituduh syirik, saya malu, apabila saya dimalukan, saya akan saman. Saya bukan bomoh tepi jalan atau bomoh kampung, sepatutnya perkara ini kita bincang dahulu,”.

Begitulah kenyataan Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh yang telah berbincang dengan peguam  untuk menyaman  malu kepada pihak-pihak  yang menuduhnya demikian.

Ibrahim memberitahu, dia sedia dipanggil Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung ritual tolak musibah banjir yang dilakukannya di sini kelmarin.

Bagaimanapun, setakat ini belum dihubungi oleh JAIPk untuk memberi penjelasan mengenai ritual yang dilakukannya itu.

“Saya kesal kerana JAIPk terus menjatuhkan hukum bahawa perbuatannya itu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya memang tunggu dia (JAIPk) panggil saya. Tapi kenapa dia (JAIPk) jatuh hukum awal-awal mengatakan ini (ritual) syirik, khurafat, bolehkah macam itu?

“Sepatutnya jumpa saya, berbincang dan beritahu perbuatan ini salah, (JAIPk) mencegahnya, jadi saya boleh minta maaf (atas) kesilapan saya, tapi awal-awal lagi sudah kata ini syirik, khurafat,” katanya.

Menurutnya, berikutan tuduhan ritual yang dilakukannya itu syirik, beliau mahu membawa perkara itu ke mahkamah dan menuntut RM300 juta.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan polis di sini semalam mengenai ritual yang dijalankannya itu.

Katanya, dalam laporannya, beliau menyatakan ritualnya itu tidak mengaitkan atau mengkritik mana-mana pihak.

“Dalam laporan polis yang saya buat, saya menyatakan upacara yang saya lakukan itu tidak mencaci mana-mana pihak,” katanya.

Jelasnya, beliau melakukan ritual menolak banjir menggunakan petua orang dahulu kala, yang merupakan ikhtiar untuk menjauhkan musibah banjir di sini berikutan beberapa negeri dilanda banjir besar baru-baru ini.

“Memang dahulu pejabat agama arahkan saya tak boleh buat ritual, betullah tu, tapi apabila saya tengok banjir sudah melanda, saya sebagai pengamal perubatan tradisional membuat usaha saya secara tradisional menggunakan petua orang dahulu kala,” katanya.

Semalam, JAIPk berkata akan membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berkaitan upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam di Dataran JPS di sini.

Upacara itu tular dalam media sosial semalam menerusi video berdurasi 25 minit yang memperlihatkan Ibrahim melakukan upacara dipercayai menolak musibah banjir bersama seorang wanita.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, perbuatan dua individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya