MELAKA: Hampir 500 penduduk Kampung Morten di sini sukar tidur lena bimbang fenomena air laut pasang menyebabkan air Sungai Melaka terus melimpah.
Tinjauan Utusan Malaysia di perkampungan itu kira-kira pukul 9 pagi semalam mendapati, penempatan berhampiran sungai itu telah dinaiki air pada paras 0.4 meter.
Seorang penduduk, Amnah Othman, 63, berkata, air banjir pada paras betis mula memasuki rumahnya sejak Sabtu lalu dan hujan berterusan menyebabkan bah kian buruk.
“Air banjir masuk ke rumah ketika makcik sedang memasak dan kami (penduduk) ingat air akan surut dalam beberapa jam, namun semalam hujan tidak reda menyebabkan kawasan ini terus banjir.
“Pada 9 lebih malam tadi, air naik semula, kami semua memang tidak boleh tidur, risau banjir bertambah buruk setiap kali hujan,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut, dia yang juga menguruskan sebuah kedai makan di situ memberitahu, salah satu punca kejadian banjir dipercayai disebabkan tembok di tebing sungai berkenaan telah terhakis dan pecah.
“Mak cik duduk sini lama dah, ini rumah pusaka lebih 70 tahun dan kali terakhir kawasan ini banjir teruk ketika makcik berusia 12 tahun, itu pun pada paras paha.
“Tidak sangka kawasan ini akan banjir lagi, ini kali keenam kami terpaksa meranduk air bah sepanjang minggu lalu, salah satu punca kami rasa sebab tembok sungai pecah,” jelasnya.
Sementara itu, Jamaluddin Md. Zain, 64, dan isterinya, Kamariah Yusof, 57, memberitahu, dia mula memindahkan barangan perabot selepas banjir di kawasan itu tidak surut sejak kelmarin.

“Sudah beberapa hari air banjir ini naik dan tak surut, saya mintalah pihak kerajaan negeri cari penyelesaian termasuk mendalamkan sungai atau meninggikan benteng.
“Kami sudah penat hendak membersihkan air banjir dalam rumah yang tidak kering-kering bila tiba waktu air pasang,” katanya. – UTUSAN










