fbpx

Penduduk resah air sungai busuk, ikan mati

PENDUDUK menunjukkan keadaan air Sungai Pengkalan Ranggon yang bertukar menjadi keruh dan hitam di Kemaman, hari ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Lebih 800 penduduk di Kampung Pengkalan Ranggon, Kertih di sini resah apabila sungai di perkampungan tersebut berubah kepada kehitaman dan berbau busuk hingga menyebabkan hidupan mati. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Ranggon, Mohamad Abdullah berkata, pencemaran sungai yang disyaki berpunca akibat pembuangan sisa dari kawasan perindustrian turut menjejaskan mata pencarian 100 nelayan sungai. 

Menurut beliau, jika berlarutan, keadaan itu dikhuatiri turut memberi kesan kepada kesihatan penduduk. 

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan air di sungai ini kekurangan oksigen, sebab itu, ikan yang ditangkap menggunakan pukat dan bubu mati.

“Situasi sama pernah berlaku pada 2015 dan kembali berulang sejak minggu lalu,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Sementara itu, seorang nelayan, Adam Abdullah, 50, berkata, pendapatannya merosot kerana kebanyakan ikan yang ditangkap tidak lama selepas itu mati. 

Katanya, sungai berkenaan mempunyai pelbagai spesies ikan seperti ubi, tapah, sebarau, siakap di samping udang galah, hingga rata-rata penduduk mengambil peluang menjana pendapatan dengan menangkap ikan di situ. 

“Dahulu,  pendapatan mencecah RM500 seminggu, tetapi kini cuma kira-kira RM80 sahaja yang diraih sejak air sungai berubah warna dan ikan-ikan yang ditangkap menggunakan bubu serta pukat, mati,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, siasatan terperinci perlu diambil bagi memastikan dalang pencemaran sungai  dikenakan tindakan. 

“JAS sudah mengambil sampel air untuk dianalisis dan jika keadaan ini berlaku ekoran perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan diambil,” katanya.- UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI